Wednesday, July 24, 2013

KAEDAH PENGAJARAN BACAAN

KAEDAH ABJAD
1. Menurut Azman Wan Chik (1993), kaedah abjad dianggap sebagai kaedah nama-nama huruf yang digunakan di dalam tulisan Melayu iaitu A, B, C, …… hingga Z.
2. Murid-murid diajar menghafal nama-nama huruf secara mengikut turutan bermula dari A hingga Z.
3. Teknik pengajaran dimulakan dengan guru menunjukkan kad abjad kepada murid dan guru menyebut terlebih dahulu abjad-abjad tersebut untuk memperkenalkannya kepada murid.
4. Kemudian, sekali lagi guru menunjukkan kad-kad abjad tersebut dan meminta murid untuk mengenalpasti dan menyebut abjad-abjad yang ditunjukkan dengan bantuan guru.
5. Guru membetulkan setiap kesilapan sebutan murid sewaktu kad-kad abjad ditunjukkan.
6. Proses ini diulang sehingga murid mampu mengenalpasti dan menulis abjad-abjad yang telah diajar.
7. Seterusnya, guru melekatkan kad-kad abjad tersebut di papan hitam. Guru akan memilih murid secara rawak dan meminta murid tersebut mengambil kad kad di papan hitam berdasarkan apa yang disebut oleh guru.
8. Selepas itu, murid diminta membuat latihan bertulis dalam buku masing-masing. Guru akan menyebut abjad manakala murid perlu mendengar dengan teliti dan menulisnya dalam buku.



KAEDAH SUKU KATA

1. Suku kata ialah bahagian perkataan berasaskan kehadiran vokal.
2. Suku kata ditandai oleh suatu vokal dan wujud sebagai satu vokal atau bersama-sama dengan konsonan.
3. Dalam Bahasa Melayu, terdapat sebelas pola suku kata. Suku kata yang berakhir dengan huruf vokal dipanggil Suku Kata Terbuka.
4. Suku kata yang lain adalah Suku Kata Tertutup kerana diakhiri dengan huruf konsonan. Beberapa jenis suku kata :
(a) Kata tunggal satu suku kata. Contoh : K + V + K
(b) Kata tunggal dua suku kata. Contoh : V + KV (ibu, ela), V + VK (air, aib), V + KVK (adat, emas), VK + KV (anda, unda), VK + KVK (untuk, entah), KV + KVK (bukan, dekat).
(c) Kata tunggal tiga suku kata. Contoh : KV + V + KV (biasa, cuaca), KV + V + KV (kaedah).
(d) Kata tunggal empat suku kata. Contoh : KV + KV + KV + KV (panorama)



KAEDAH PANDANG SEBUT

1. Kad gambar, kad huruf, kad suku kata dan kad perkataan boleh digunakan di peringkat awal pengajaran untuk memperkembangkan kemahiran membaca.
2. Murid sendiri akan memegang kad-kad tersebut dan menyusunnya supaya menjadi perkataan yang bermakna.
3. Sentuhan secara fizikal mendorong murid mengingati pelajaran dengan mudah dan berkesan.
4. Kaedah ini memnetingkan dua perkara iaitu:
(a) Membunyikan perkataan rangkai kata berdasarkan pengalaman melalui gambar; dan
(b) Membunyikan ayat melalui gambar yang ada cerita.
5. Manakala kad perkataan pula boleh digunakan bagi melatih murid untuk menyebut perkataan yang dipaparkan oleh guru (secara flashcard) secara cepat dan pantas tanpa perlu mengeja terlebih dahulu. Ini bagi mempertingkatkan keupayaan murid untuk membaca.

KAEDAH FONIK

1. Menurut Azman Wan Chik, kaedah fonik adalah untuk mengajar murid melihat hubungan antara simbol (huruf) dengan bunyi supaya kemudian mereka dapat membaca (membunyikan) perkataan-perkataan baharu yang mereka jumpa.
2. Bunyi-bunyi huruf diajar. Ertinya lambang huruf terus dikaitkan dengan bunyinya. Contoh : “a” dibunyikan ‘aaaa…..’, “u” dibunyikan ‘uuuu…….’.
3. Setelah tahu hubungan tiap-tiap huruf dengan bunyinya, suku kata pula dibina. Misalnya, ‘ba’, ‘da’, ‘tu’ dan sebagainya.
4. Seterusnya, digabungkan suku kata ini menjadi perkataan seperti ‘baba’, ‘batu’, ‘ibu’ dan sebagainya.

KAEDAH GABUNGAN BUNYI KATA

1. Kaedah ini menggabungkan kemahiran membunyi beberapa huruf, suku kata dan membaca perkataan, rangkai kata, ayat (yang bermakna) dalam satu atau dua pelajaran.
2. Gabungan ini dibuat secara sistematik.
3. Tiap-tiap pelajaran berikutnya, beransur-ansur memperkembangkan kemahiran sebelumnya.
4. Pada akhir tiga atau empat pelajaran saja, murid-murid sudah boleh membaca beberapa perkataan dan rangkai kata yang mudah. Contohnya murid boleh membaca sendiri buku-buku cerita.

Rujukan

Azman Wan Chick, (1993). Mengajar Bahasa Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

PROGRAM LINUS


PENGENALAN

Ministery Key Performance Indicators (MPKI) KPM telah menyasarkan bahawa semua murid normal berkeupayaan untuk menguasai asas literasi dan numerasi selepas tiga tahun mengikuti pendidikan rendah menjelang 2012. Pembentangan konsep NKRA kepada YAB Menteri Pelajaran pada 10 Ogos 2009 memutuskan bagi mencapai MPKI 2, kemahiran guru dalam melaksanakan pemulihan dan bimbingan untuk mencapai literasi dan numerasi perlu ditingkatkan. LINUS mula dilaksanakan pada tahun 2010 melibatkan murid Tahun 1 di semua sekolah rendah (Kohort Pertama). Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) telah dipertanggungjawabkan untuk menerajui usaha mengatasi masalah literasi dan numerasi dalam kalangan murid sekolah rendah. Bahagian Pendidikan Guru (BPG) telah dipertanggungjawabkan memberi latihan kepada guru dengan kerjasama semua Jabatan Pelajaran Negeri melalui Bidang Matematik dan Bidang Bahasa Melayu di Sektor Pengurusan Akademik.


OBJEKTIF
1. Membimbing murid untuk mencapai literasi dan numerasi.
2. Memantau prestasi murid dalam Program LINUS.
3. Merangka program pemulihan pembelajaran murid LINUS.
4. Menjalankan kursus dalaman di sekolah khususnya kepada semua guru Tahap 1.

KUMPULAN SASARAN
Guru Tahap 1 Sekolah Rendah (Bermula dengan guru Tahun 1, 2010).

PELAKSANAAN PROGRAM
Pihak sekolah diminta mencalonkan wakil guru (seorang guru Literasi dan seorang guru Numerasi) kepada pegawai meja di Jabatan Pelajaran Negeri untuk menghadiri kursus LINUS peringkat negeri. Pada tahun 2010, kursus peringkat negeri dilaksanakan untuk guru Tahun 1 diikuti dengan guru Tahun 2 pada tahun 2011 dan guru Tahun 3 pada tahun 2012. Kursus ini dibimbing oleh Jurulatih Utama LINUS yang telah mendapat latihan pusat anjuran Bahagian Pendidikan Guru. Pengisian kursus melibatkan aktiviti ceramah, perbengkelan dan pembentangan. Guru tersebut wajib melaksanakan kursus dalaman kepada warga guru di sekolah khususnya kepada guru Tahap 1. Terdapat tiga peringkat saringan dijalankan setiap tahun iaitu pada bulan Mac, Jun dan September untuk memantau prestasi murid LINUS. Murid LINUS yang tidak mencapai aras konstruk yang ditetapkan diwajibkan mengikuti program LINUS menggunakan Modul LINUS yang dibekalkan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum.

PENUTUP
Program LINUS merupakan satu pendekatan bersepadu yang perlu dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh supaya masalah literasi dan numerasi dapat dikesan dan dipulihkan seawal murid berada di Tahap 1. Perkara ini perlu diberi perhatian serius oleh pihak sekolah dan PPD selaku "ownership" kepada pelaksanaan LINUS di daerah kerana murid yang tidak menguasai kemahiran asas 3M merupakan kumpulan yang berisiko keciciran dan berhadapan dengan kesukaran memenuhi keperluan melanjutkan pelajaran dan kerjaya.
 
 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...